Petunjuk Prestasi Utama (KPI)

Oleh TUN FAISAL ISMAIL AZIZ

Hari ini Petunjuk Prestasi Utama atau Key Performance Indicators (KPI) menjadi bualan ramai berikutan hasrat Perdana Menteri Malaysia yang baru Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang mahu menggunakannya bagi memantau prestasi para Menteri, Timbalan Menteri dan pegawai kanan kerajaan.

KPI adalah ukuran atau metrik yang digunakan bagi membantu sesuatu organisasi mendefinisi dan menilai sejauh mana kejayaannya dalam memenuhi matlamat organisasinya. KPI adalah salah satu dari bahagian utama objektif yang boleh diukur yang terdiri daripada hala tuju, KPI, tanda aras, sasaran dan jangka masa pencapaian. Misalnya, “meningkatkan jumlah pelajar yang mencapai 5A dalam UPSR daripada 5 orang kepada 25 orang menjelang tahun 2011.” Dalam contoh ini, jumlah pelajar yang mencapai 5A dalam UPSR kepada 25 orang adalah KPInya.

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) sarat dengan KPI yang perlu dicapai oleh warga Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Misalnya, dalam program Pembestarian Sekolah, antara perancangannya adalah untuk menyediakan infrastruktur dan perkakasan yang mencukupi, membangunkan capaian internet jalur lebar dan rangkaian setempat yang berkesan di dalam sekolah, menyediakan perisian yang lengkap serta mengadakan latihan dan bimbingan serta mengadakan program pengurusan perubahan yang mencukupi. Petunjuk dan KPI yang perlu diukur juga ditetapkan. Misalnya dari segi infrastruktur; jumlah pusat akses yang perlu dibangunkan, jumlah komputer di dalam makmal komputer yang perlu diganti, jumlah sekolah yang telah dilengkapkan dengan capaian jalur lebar dan rangkaian setempat, nisbah komputer kepada guru dan nisbah komputer kepada murid menjelang tahun 2010.

KPI bukan suatu benda yang baru. Di Pekham Academy, sebuah sekolah di pinggir bandar London, KPI digunakan bagi menentukan prestasi pengajaran guru. Guru dan pentadbir akan berbincang tentang matlamat jangka panjang sekolah dan sejumlah set KPI yang perlu dipersetujui. Jika KPI ini dipenuhi maka Guru akan mendapat imbuhan yang setimpal, tetapi jika tidak, guru perlu bersedia untuk dikeluarkan dari sekolah tersebut.

Kita menyokong penuh hasrat Perdana Menteri untuk menggunakan KPI bagi mengukur prestasi Menteri, Timbalan Menteri dan pegawai kanan kerajaan. Namun ada sedikit persoalan mengenai KPI ini yang memerlukan pertimbangan.

Pertama, KPI ini akan dinilai setiap enam bulan sekali. Tempoh enam bulan pertama secara relatifnya agak pendek bagi seorang Menteri dan Timbalan Menteri yang baru untuk memahami sesebuah kementerian, isu dan kehendak pihak berkepentingan.

Kedua, KPI berbeza bagi setiap kementerian dan jika tidak didefinisi dengan baik ia mungkin boleh memberi impak negatif kepada kerajaan. Misalnya, agak pelik jika KPI polis trafik ditetapkan berdasarkan jumlah saman yang perlu dikeluarkan setiap hari. Walaupun ada kebaikannya, namun ada kekurangannya.

Ketiga, jangan sampai terlalu banyak masa dihabiskan misalnya untuk mendefinisi KPI ataupun untuk membuat laporan KPI, sehingga perlu berseminar ke sana sini sampai tugas teras terabai. Atau, jangan juga sampai laporan tersebut dikosmetikkan bagi menampakkan yang indah-indah sahaja sedangkan pelaksanaannya tidak dirasai oleh rakyat. Kadang-kadang kita tertanya-tanya juga apakah kaedah penarafan bintang oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), penilaian prestasi tahunan penjawat awam, Penilaian Tahap Kompetensi (PTK) dan pelbagai kaedah lain yang pernah digunakan untuk menilai prestasi kerajaan mencerminkan pelaksanaan sebenar di peringkat rakyat.

Keempat, KPI perlu ada impak terhadap pertumbuhan ekonomi negara. Kelemahan pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) sedikit sebanyak menjejaskan ekonomi negara. Pendekatan yang berbeza amat diperlukan bagi melaksanakan Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan Perdana Menteri. Misalnya, kita tidak mampu menunggu sehingga enam bulan ke satu tahun bagi sesuatu dokumen tender disediakan, tiga hingga enam bulan untuk keputusan dibuat dan enam bulan ke bertahun-tahun untuk sesuatu projek dilaksanakan. Kesemua ini akan menjejaskan aliran wang yang masuk ke dalam kitaran ekonomi negara!

Sumber: Portal Utusan Pendidikan

0 Responses to “Petunjuk Prestasi Utama (KPI)”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




Archives

Recent Comments

There are no public comments available to display.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: